Saturday, November 19, 2011

kisah air mata dan syukur seorang hamba.

Bismillahirrahmanirrahim.

Dia seorang gadis berusia 18 tahun, baru tamat peperiksaan SPM, dan mendapat tawaran ke universiti. Memandangkan keluarganya miskin dan belum ada ahli keluarga yang mampu melangkah ke menara gading, peluang yang diperolehinya merupakan nikmat Allah yang tak terhingga buat dia, sebagai langkah permulaan mengubah nasib keluarga. Dia akan mendaftar sebagai pelajar universiti beberapa hari lagi. Ayahnya sudah berjanji akan menemaninya ke sana. Mereka berdua akan menaiki bas ekspres sahaja, kerana hanya itu satu-satunya pengangkutan yang mampu mereka naiki dengan duit yang ada. Namun, takdir Allah mengatasi segala, si ayah dipanggil menemui Penciptanya dalam sebuah kemalangan yang tragis. Dia hanya mampu menangis. Jika mahu diturutkan hati, dia mahu larut dalam kesedihan dan membatalkan hasrat menyambung pengajian.Namun,pujukan keluarga, saudara mara dan jiran-jiran memaksa dia meneruskan perjuangan. Cuma dia perlu kuat untuk menaiki bas tanpa ayah di sisi.
Ini kisah benar yang dilaporkan akhbar beberapa bulan yang lalu.


Seorang saudara saya terpaksa extend pengajiannya kerana menjaga ibu yang sakit tenat. Dan Allah lebih mengasihi ibunya yang sekian lama sabar menanggung ujian. Saya menerima berita sedih pemergian ibunya sewaktu aidil adha yang lalu.

Ada seorang abang sulung, mengambil keputusan berhenti belajar sewaktu sudah di tahun 3 jurusan perubatan veterinar, kerana himpitan hidup yang menyeksakan. Dia tidak sanggup membiarkan ibunya keseorangan membesarkan adik-adik yang ramai lalu mengambil keputusan berani mati mengorbankan cita-cita, dengan harapan adik-adik tercinta tidak akan mengalami nasib yang sama sepertinya. Ini kisah yang dilaporkan sebuah majalah.

Mari renung keadaan kita. Adakah kita sedang meratapi ujian yang berat seperti mereka? Adakah kita dihimpit dengan tuntutan pengorbanan untuk berhenti belajar demi sebuah survival kehidupan? Adakah kita terpaksa mengalas perut dengan air paip selama seminggu kerana tidak punya wang untuk membeli sesuap makanan?Atau adakah kita ditimpa sakit kronik yang membuat kita terlantar di hospital sehingga tidak mampu meneruskan kehidupan seperti insan normal yang lain?


Jika jawapannya tidak, maka bersyukurlah atas nikmat yang tak terhingga kurniaan DIA. Belajarlah untuk tahu dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang ada walau zahirnya nampak sedikit di mata anda. "Aku tak ada pun kereta Viva, aku tak dapat pun GPA 4.0, aku tak cantik pun macam Wardina, aku tak hensem pun macam Bob Lokman, rumah aku tak mewah pun macam istana mamanda menteri". Manusia, akan sentiasa sahaja ada keluhan dan rungutan. Walau diberi nikmat oleh Allah dengan dunia dan seisinya, pasti takkan juga ada istilah kepuasan. Kecuali insan yang punya iman dan sedar dirinya menumpang di bumi Tuhan.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat". [surah Ibrahim :7]

"Barangsiapa bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, dan barangsiapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya Maha Mulia". [An-Naml;40]

Syukur bukan sekadar lafaz 'Alhamdulillah'. Amat malang andai ada yang merasa syukurnya sudah sempurna dengan sekadar melafaz 'Alhamdulillah'. Bukankan sudah biasa kita melihat artis yang berpakaian seksi menjolok mata dengan begitu tawadhuk melafaz Alhamdulillah sewaktu memenangi anugerah dalam bidang seni. Malah ada sebuah band yang bertakbir dan bersujud di pentas sewaktu memenangi pertandingan realiti TV.Seperti ada pencuri yang membaca Bismillah sebelum memulakan aktiviti mencuri. Membacanya tidak salah. Tapi konteks penggunaan kurang tepat.

Syukur tidak hanya sekadar lafaz di lidah. Tetapi mesti dibuktikan dengan perbuatan. Ketaatan yang tulus kepada Allah adalah manifestasi sebenar sebuah kesyukuran. Jika benar kita bersyukur, maka taatilah perintah Allah. Jika benar kita bersyukur, maka tinggallah larangan Allah. Berusaha dan terus berusaha untuk mendapat keredhaan Allah.


"Barangsiapa mengerjakan kebajikan, dan dia beriman,maka usahanya tidak akan diingkari (disia-siakan), dan sungguh, Kamilah yang mencatat untuknya". [Al-Anbiya'; 94]

Rasulullah s.a.w dan para sahabat tidak mengecapi kehidupan yang mewah seperti kita. Rasulullah s.a.w pernah terpaksa mengikat perut baginda dengan batu demi menahan rasa lapar. Saidina Ali bin Abi Thalib dan isterinya Fatimah r.a pernah mendermakan makanan yang disimpan untuk berbuka puasa kepada tiga orang yang memerlukan. " (sambil berkata), sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah kerana mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak mengharap balasan dan terima kasih dari kamu." [Al-Insan:9]

Namun Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda begitu gigih berjihad menampaikan dakwah. Mereka sangat tekun beribadah. Mereka berjuang sehingga berjaya menakluk dua pertiga dunia. Mereka benar-benar bersyukur dengan nikmat taufiq hidayah daripada Allah, dan mereka bersyukur dengan nikmat duniawi yang dinikmati sekadarnya. Ketuk minda kita dengan bertanya,sejauh manakah kesungguhan kita dalam menunaikan amanah yang diletakkan di bahu kita? Sedangkan kita tidak selapar Rasululullah s.a.w dan para sahabat baginda.

Masih ponteng kelas dengan sengaja? Masih culas melaksanakan amanah menuntut ilmu? Masih main-main dengan tuntutan solat, menjaga batas pergaulan lelaki perempuan dan sebagainya? Sekadar contoh. Kita lebih tahu sejauh mana kesungguhan dan kelalaian kita. Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Maka pertahankanlah kemuliaan itu dengan bersungguh-sungguh mempraktiskan cara hidup seorang mukmin. Janganlah kita merosakkannya dengan keingkaran kita pada Allah Yang Maha Pemurah.


Lapangkan hati kita dengan setiap ujian yang melanda. Bersyukurlah kerana Allah sentiasa memberi kita jalan keluar setiap kali kita berdepan dengan masalah, yang kita rasa seolah-olah dunia sudah tiba di penghujungnya. Kerana hati yang qonaah dan berlapang dada adalah syarat untuk mendapat kebahagiaan. Nasi berlauk ayam,udang dan sotong akan terasa jelik dan tidak sedap bagi orang kaya yang tak tahu bersyukur. Tapi nasi berlaukkan ikan masin semata mungkin lebih sedap dan menyelerakan bagi orang miskin yang tahu bersyukur.

Justeru bersyukurlah. Kurangkan rungutan dan keluhan. Bersungguh-sungguhlah mengejar cita-cita supaya suatu hati nanti dapat menyumbang kepada agama. Kuatkan hati dan tersenyumlah walau apa sahaja ujian yang melanda. Kerana selagi mana anda bergantung dengan Pemilik Dunia ini, DIA pasti takkan pernah menghampakan anda.


"Sungguh, (ayat-ayat) ini adalah peringatan, maka barangsiapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya) tentu dia mengambil jalan menuju Tuhannya. Tetapi kamu tak mampu (menempuh jalan itu), kecuali apabila dikehendaki Allah. Sungguh Allah Maha Mengetahui , Maha Bijaksana." [Al-Insan:29,30].

Sekian, selamat bersyukur. :-)


2 comments:

  1. curi baca bismillah.lol.sedih crita kt ats 2.insaf

    ReplyDelete
  2. this article is also published at marufclub.com.just a mere information to avoid any confusion.tQ.

    ReplyDelete

Followers

About Me

My photo
penuntut institut pemikiran politik Ibnu Hussian.